Selasa, 3 April 2012

PENGANGGURAN

PENGENALAN

Pengangguran merupakan salah satu masalah yang sering di hadapi sama ada negara maju mahupun negara yang sedang membangun dan miskin. Masalah pengangguran biasanya disebabkan oleh keadaan ekonomi yang sedang mengalami kemelesetan dan juga perubahan dari skim yang digunakan oleh firma iaitu perubahan dari skim berinsentifkan buruh kepada skim berinsentifkan teknologi dan modal. Pengangguran berlaku apabila seseorang yang boleh bekerja dan mahu bekerja tetapi tidak dapat mendapat pekerjaan. Mereka ini digolongkan dalam tenaga buruh sesebuah negara, iaitu mereka yang berumur 16 ke 64 tahun dan sanggup bekerja. Dalam masyarakat di mana kebanyakan orang boleh mencari nafkah dengan bekerja dengan orang lain, pengangguran adalah masalah serius. Kesan negatifnya termasuk kehilangan, perasaan ditolak dan kegagalan peribadi, dan kerana itu pengangguran digunakan secara secara meluas untuk mengukur kebajikan pekerja. Kadar pekerja yang menganggur juga menunjukkan tahap kecekapan penggunaan sumber manusia sesebuah negara dan menjadi indeks bagi aktiviti ekonomi.

Secara global, isu pengangguran mengikut satu kitaran (cyclical) turun-naik persis seperti ekonomi dunia dan kedua-duanya saling berhubung kait di antara satu sama lain. Pada awal 80-an, kadar pengangguran meningkat akibat resesi (recession) yang melanda dunia ketika itu. Tetapi pada pertengahan 80-an, kadar pengangguran kembali turun, hasil daripada perkembangan (expansion) ekonomi dunia. Kitaran ini berulang lagi apabila dunia mengalami resesi pada awal tahun 90-an dan disusuli dengan perkembangan ekonomi dunia pada pertengahan 90-an. Tentunya kita masih teringat dengan krisis matawang Asia pada akhir tahun 90-an yang mengakibatkan ekonomi Asia jatuh dengan teruknya. Kini, pada awal abad ke-20 ini, kita kembali pula kepada fasa perkembangan ekonomi yang pesat

JENIS PENGANGGURAN 

Pengangguran boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, 

a.      Pengangguran geseran atau normal.

Pengangguran ini berlaku untuk sementara waktu sahaja.
Pekerja tidak puas hati dengan pekerjaan sekarang dan
sedang berusaha untuk mencari pekerjaan lain yang lebih baik.
Pengangguran geseran atau normal berlaku apabila pekerja berhenti kerja dan mencari pekerjaan tetapi tidak menjumpainya serta merta dan ketika itu mereka dikira sebagai penganggur. Friksional ini merujuk kepada ketaksesuaian di antara permintaan dan bekalan buruh.

 

b.      Pengangguran struktur.

Pengangguran ini berlaku disebabkan perubahan struktur ekonomi dalam sesebuah negara. Pada masa dahulu sektor pertanian memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada tenaga buruh. Dengan perkembangan sektor industri dan pembinaan, penyumbang terbesar dalam penyediaan peluang pekerjaan telah beralih ke sektor tersebut. Oleh kerana sebilangan tenaga buruh tidak mempunyai kelayakan dan kemahiran maka berlakulah pengangguran. Perubahan sektor ini juga berlaku kerana kurangnya penawaran dari sektor pertanian atau terdapat kekurangan permintaan terhadap keluarannya. Kekurangan permintaan ini adalah disebabkan berlakunya peningkatan kos pengeluaran, persaingan, terdapatnya keluaran baru dalam pasaran dan sebagainya.  


c.       Pengangguran kitaran atau edaran.

Pengangguran ini berlaku apabila terdapatnya kemelesetan teruk dalam permintaan agregat. Pengurangan permintaan agregat ini akan mengurangkan pengeluaran dan seterusnya akan mengurangkan penggunaan tenaga buruh oleh pengeluar. Kemerosotan permintaan agregat yang disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dan berlakunya inflasi akan menyebabkan kuasa beli isi rumah merosot.  

d.      Pengangguran teknologi.

Pengangguran teknologi berlaku apabila penggunaan tenaga buruh dalam proses pengeluaran telah diambil alih oleh mesin dan robot. Ini disebabkan berlakunya perkembangan teknologi yang telah berjaya mencipta alatan yang lebih baik untuk meningkatkan pengeluaran dengan kos pengeluaran yang semakin berkurangan. Pembangunan teknologi misalnya menyebabkan keperluan kemahiran baru dalam banyak industri, menyebabkan mereka yang tidak mengemaskini kemahiran mereka kehilangan pekerjaan. Dan kilang dalam industri yang merosot akan tutup yang menyebabkan pekerja mereka hilang pekerjaan.  

e.       Pengangguran tersembunyi atau tidak ketara.

Pengangguran ini berlaku apabila terdapatnya lebihan penggunaan tenaga buruh dalam sesuatu ekonomi. Pengangguran ini kebanyakkannya berlaku dalam sektor pertanian. Kehadiran tenaga buruh yang berlebihan ini tidak akan menambahkan pengeluaran dan ketiadaan tenaga buruh ini juga tidak akan menjejaskan pengeluaran.  

f.       Pengangguran bermusim.

Pengangguran bermusim berlaku apabila berlakunya perubahan musim yang menghalang tenaga buruh melakukan kegiatan ekonomi. Misalnya, pesawah padi tidak turun ke bendang apabila selesai musim menuai dan terpaksa tunggu hingga musim menanam semula. Nelayan pula tidak turun ke laut untuk menangkap ikan pada musim tengkujuh. 

g.      Pengangguran sukarela atau terbuka.

Pengangguran ini berlaku apabila tenaga buruh secara sukarela enggan bekerja apabila ditawarkan pekerjaan. Ini disebabkan oleh pekerjaan yang ditawarkan tidak sesuai dengan kelulusan, kemahiran, pengalaman dan sebagainya dengan tenaga buruh. 

KESAN PENGANGGURAN 

Pengangguran yang berlaku dalam sesebuah negara akan menimbulkan kesan kepada ekonomi dan sosial.  Pengangguran yang disebabkan oleh kurangnya peluang pekerjaan akibat daripada kemelesetan ekonomi seperti pengangguran kitaran, akan
menimbulkan kesan yang buruk terhadap kestabilan ekonomi sesebuah Negara.

Kesan pengangguran terhadap ekonomi ialah: 

a.      Mengurangkan keluaran negara.

Apabila terdapat ramainya tenaga buruh yang menganggur, maka pengeluaran dari beberapa sektor ekonomi akan berkurangan dan akibatnya keluaran negara bagi negara berkenaan akan berkurangan. Pengangguran tidak menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Kadar pengangguran yang tinggi akan menjejaskan prestasi pertumbuhan ekonomi. Pembaziran sumber-sumber pengeluaran menjurus kepada pengeluaran output yang rendah daripada output prestasi.

b.      Menurunkan taraf hidup.

Taraf hidup penduduk di sesebuah negara diukur dengan menggunakan pendapatan per kapita. Apabila terdapatnya ramai tenaga buruh yang menganggur,  maka keluaran negara kasar akan berkurangan dan seterusnya akan mengurangkan
pendapatan per kapita. Apabila pendapatan per kapita rendah,
maka taraf hidup penduduk juga akan rendah. 


c.       Mengurangkan pendapatan negara.

Apabila kadar pengangguran adalah tinggi, maka pendapatan atau
keuntungan pengusaha akan berkurangan. Ini akan mengurangkan jumlah cukai pendapatan dan cukai keuntungan syarikat yang dapat
dipungut oleh kerajaan dan seterusnya akan mengurangkan pendapatan negara. 
Pengangguran menyebabkan buruh kehilangan pekerjaan dan secara tidak
langsung menyebabkan kutipan cukai pendapatan berkurangan.

d.      Melambatkan proses pembangunan negara.

Apabila pendapatan negara berkurangan, maka kerajaan tidak dapat
menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur yang perlu untuk menjana
pertumbuhan ekonomi. Perbelanjaan tersebut terpaksa dikurangkan dan  akan melambatkan proses pembangunan negara. 
Pengangguran yang tinggi menyebabkan ekonomi tidak dapat beroperas pada tahap yang maksimum.


e.       Menambahkan kadar kemiskinan.

Pengangguran yang tinggi kadarnya akan meningkatkan kadar kemiskinan
dalam negara. Kerajaan terpaksa merancang beberapa program untuk
mengatasi masalah kemiskinan. Ini akan menjejaskan usaha kerajaan
untuk memajukan negara. 

Kesan pengangguran terhadap sosial ialah:

a.      Mewujudkan keadaan tidak tenteram dalam keluarga.

Apabila berlaku pengangguran, keadaan rumah tangga berada dalam keadaan tidak tenteram kerana akan berlaku pergaduhan dan pertengkaran dan akhirnya membawa kepada penceraian. 


b.      Peningkatan kejadian anti sosial dalam masyarakat.

Akibat dari masalah kewangan yang dihadapi oleh pengangguran,
maka mereka sanggup melakukan rompakan, pembunuhan dan lain-lain kegiatan anti sosial untuk mendapatkan wang. 

c.       Masalah tekanan jiwa dan tiada kenyakinan diri.

Penganggur yang telah lama menganggur akan mengalami masalah tekanan jiwa
yang hebat dalam kehidupannya. Ia akan sentiasa berfikir bagaimana
tanggungjawabnya terhadap keluarga dapat disempurnakan dalam keadaan ia sedang menganggur. 


PUNCA-PUNCA PENGANGGURAN

Terdapat beberapa punca-punca pengangguran yang berlaku. Antara faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut :-

a.             Kehilangan Pekerjaan

Kategori ini terdiri daripada mereka yang diberhentikan atau terpaksa berhenti
daripada pekerjaan, samaada untuk tempoh sementara atau berkekalan.
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan kehilangan pekerjaan seperti
kegagalan pekerja memenuhi syarat pekerjaan ataupun kegagalan firma
memenuhi keperluan pekerjanya.


b.             Meninggalkan Pekerjaan

Terdapat sesetengah golongan meninggalkan pekerjaan mereka secara sukarela
dan  tidak semestinya atas alasan mereka dipecat.

c.       Tenaga Buruh Baru & Kemasukan Semula Tenaga Baru


Tenaga Buruh Baru terdiri daripada mereka yang telah menghabiskan pengajian dan bersedia memasuki pasaran tenaga buruh. Kemasukan semula tenaga buruh
pula mengenai mereka yang telah mempunyai pekerjaan kemudian keluar
daripada tenaga buruh & memasuki semula tenaga buruh.


MENGHITUNG KADAR PENGANGGURAN 

Pengangguran boleh dihitung dengan menggunakan rumus berikut;

Pengangguran = tenaga buruh – guna tenaga

Guna tenaga adalah tenaga buruh yang bekerja dalam sesebuah ekonomi. Oleh itu beza antara jumlah tenaga buruh dengan guna tenaga adalah pengangguran.  

Jumlah pengangguran dalam sesebuah negara biasanya dinyatakan dalam bentuk kadar. Oleh itu kadar pengangguran boleh dihitung seperti berikut;

 
Menurut Keynes, sesebuah negara yang mempunyai kadar pengangguran 4% atau kurang menunjukkan negara tersebut telah mencapai guna tenaga penuh.  

1 ulasan: